Thursday 26 July 2012

REFLEKSI PENGGUNAAN ICT DALAM P&P

REFLEKSI  PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU
          Setelah meneliti serta menghayati apa yang dimaksudkan dengan teknologi maklumat dan komunikasi maka dapatlah saya fahami betapa pentingnya perkara ini diwujudkan dalam sesebuah kelompok komuniti atau masyarakat untuk memastikan  kemajuan serta pembangunan komuniti itu tidak ketinggalan jauh dari masyarakat lain.
          Dalam usaha untuk merealisasi objektif dan falsafah pendidikan negara ke arah masyarakat berteknologi dan bermaklumat, terutama sekali yang berteraskan penggunaan teknologi  maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, saya dapati ianya amat berguna sebagai salah satu alat bagi memperolehi banyak maklumat untuk diketengahkan kepada pelajar-pelajar.
          Penggunaan teknologi maklumat untuk tujuan aktiviti pengajaran dan pembelajaran  Bahasa Melayu adalah bertepatan dengan usaha menjadikan pelajar celik computer dan berkemampuan menggunakan alat ini secara yang lebih cekap dan mahir. Meskipun pada awalnya para pelajar dan guru masih lagi perlu mendalami kemahiran menggunakan pelbagai alat teknologi maklumat ini untuk mendapat bahan berkaitan subjek Bahasa Melayu, namun berkat ketekunan dan kebijaksanaan pihak-pihak tertentu terutama sekali Kementerian Pelajaran, para guru, ibubapa-ibubapa  dan masyarakat maka semua ini telahpun  dapat ditangani secara beransur-ansur.
          Walaupun saya dapati usaha-usaha pelbagai pihak, terutama sekali guru-guru yang mengajar Mata Pelajaran Bahasa Melayu untuk menimba bahan-bahan berkaitan di laman sesawang atau dari portal majalah tertentu, namun masih ada terdapat banyak kekangan-kekangan dalam usaha memperkembangkan Bahasa Melayu  dalam era teknologi maklumat  yang semakin berkembang ini. Kekangan dan cabaran yang paling utama ialah penggunaan Bahasa Inggeris yang begitu meluas dalam internet, ruang siber dan globalisasi. Apapun cabaran itu,penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu membolehkan saya lebih berkemampuan, kreatif dan mempelbagaikan kaedah dan strategi  pengajaran dan pembelajaran dalam bilik kelas.
          Para pelajar juga sudah tentunya  menunjukkan minat yang tinggi dan melibatkan diri secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Di sinilah kemuncak penggunaan teknologi maklumat yang amat besar sekali. Ini kerana alat-alat ini bukan sahaja digunakan sabagai alat memotivasikan pelajar untuk terus memberi tumpuan terhadap pengajaran guru tetapi juga untuk memastikan pelajar mendapat bahan-bahan yang berkaitan secukupnya.
          Saya juga amat teruja kerana telah dapat mengetahui arah tuju cabaran baru dalam era teknologi maklumat dalam memperkembangkan Bahasa melayu  menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber pemodenan, bahasa sumber maklumat, bahasa sumber pengetahuan, bahasa sumber sain dan teknologi. Untuk mencapai hasrat ini, lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam teknologi maklumat perlu dihasilkan. Impian ini hanya dapat di capai dengan adanya lebih banyak pengarang, penyelidik guru,penerbit dan institusi penyelidikan.
          Sesungguhnya, tanggungjawab memperkembang, mempertahankan dan memodenkan bahasa kebangsaan yang berat ini tidak dipikul oleh pihak tertentu sahaja. Dengan kata lain, semua pencinta bahasa dan pejuang bahasa kebangsaan mestilah melibatkan diri secara aktif. Saya rasakan inilah masanya untuk kita melakukan  sesuatu yang besar maknanya kerana kita masih berada di pangkal jalan era teknologi maklumat. Jika tidak kita akan karam dalam arus globalisasi yang digelorakan oleh Bahasa Inggeris seperti yang saya nyatakan awal tadi.
          Salah satu kemudahan teknologi maklumat yang  disediakan oleh kementerian pelajaran untuk guru-guru yang  mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu terutamanya ialah  kemudahan EduwebTV.  Dengan kemudahan teknologi maklumat yang canggih ini  saya boleh memilih  saluran rencngan TV pendidikan yang sesuai  untuk menjalankan  aktiviti-aktiviti  pengajaran dan pengajaran Bahasa Melayu  di dalam kelas. Pengumpulan maklumat dan bahan  dari  segala sumber maklumat  samada  memalui internet atau  teknologi maklumat  lain   dapat  mempertingkatkan  keberkesanan pengajaran  pembelajaran saya di dalam bilik kelas. Keberkesanan EduwebTV tidak dapat dinafikan kerana  pelajar-pelajar  boleh mendapat manfaat daripada kandungan yang disediakan seperti Berita pendidikan  Rancangan akademik, Rencana, Wawancara, kurilulum,, interaktif dan siaran langsung arkib.
         Selain itu, saya juga mendapat manfaat bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran berkaitan subjek Bahasa Melayu dari Bahagian Teknologi Pendidikan. Bahan-bahan ini datangnya dari pelbagai media yang diterbitkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan dan bahagian ini seterusnya membuat  pemantauan  pengurusan dan pembangunan pusat sumber sekolah yang menyediakan program literasi maklumat.
          Bahagian Teknologi Pendidikan turut banyak membantu menyebarkan bahan pengurusan pendidikan serta pengajaran dan pembelajaran yang diterbitkan melalui pelbagai medium elektronik dan media cetak selain memantau dan menilai penggunaan teknologi dalam pengajaran pembelajaran yang  sudah tentu menguntungkan diri saya selain rakan-rakan sejawatan. Khidmat kepakaran dan nasihat yang ditawarkan dalam penggunaan teknologi maklumat oleh Bahagian Teknologi Pendidikan sungguh bermakna bagi saya sebagai guru Bahasa Melayu kerana ini akan menjadikan saya lebih cekap dalam mengendalikan alat-alat yang dibekalkan dalam pengajaran dan pembelajaran bebantukan teknologi maklumat.
          Mengintergrasi teknologi maklumat berdasarkan daripada kategori murid-murid ataupun stail pembelajaran dan tahap keselesaan belajar murid-murid dapat membantu saya merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran murid-murid dalam bilik kelas dengan berkesan. Peningkatan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada adalah peranan penting Teknologi maklumat dan  komunikasi.
          Sesungguhnya peranan internet sebagai sumber yang begitu luas kepada saya,  guru Bahasa Melayu memudahkan lagi saya terus mendapat bahan-bahan pengajaran dan rujukan serta penyelidikan yang berkesan. Melalui portal-portal pendidikan pula, samada portal tempatan ataupun luar  yang berkaitan bahan-bahan pengajaran Bahasa Melayu, ianya dapat memberikan kefahaman yang lebih kepada murid-murid. Guru pula boleh mengemaskini dan mengulang pakai bahan-bahan tersebut disamping mendapat bahan-bahan terkini dari portal-portal yang disediakan.
          Seperti yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran yang selama ini telah mendukung prinsip memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, saya dapati ianya amat penting bagi diri saya dalam usaha merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Ini telah pun memberi impak yang positif kepada pencapaian serta prestasi akedemik murid-murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan .    
          Sesungguhnya, hasil daripada penelitian dan pemahaman saya tentang satu lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan internet ialah melalui “E-Learning”, maka dapatlah saya fahami bahawa pengelibatan pelajar secara holistic dalam bilik kelas  adalah menjadi fokus utama. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran  cara e-learning ini murid-murid adalah pembuat perancangan dan menentukan kesesuaian bahan dalam e-learning bergantung kepada tahap mereka.
          Walaupun saya dapati bahawa penggunaan teknologi maklumat jenis ini amat menguntungkan para pelajar dan guru namun cabaran dalam melaksanakan  “e-learning” terutama sekali peringkat mengakses adalah masalah utama di Malaysia. Apapun cabarannya, saya akui bahawa e-learning amat membantu saya dalam penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
          Antara sumber-sumber e-learning yang saya boleh kenalpasti untuk dimanfaatkan ialah bahan-bahan percuma dari internet, bahan yang dihasilkan oleh Kementerian Pelajaran  Malaysia dengan kerjasama konsortium tempatan, bahan-bahan yang dihasilkan oleh sektor swasta dan CD-ROM yang dihasilkan oleh bahagian Teknologi Pendidikan.  
          Selain berbantukan pengajaran dan pembelajaran secara e-learning, saya juga sedia maklum bahawa penggunaan teknologi maklumat dalam usaha menambah nilai bahan sumber pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu  di sekolah seharusnya di beri keutamaan. Pusat Sumber Sekolah yang selama ini saya dapati banyak memberi sumbangan ke arah penyediaan bahan pengajaran perlu kini bergerak ke arah pusat sumber elektronik. Ini bertujuan untuk mengimbangi pekembanganan pesat bidang pendidikan serta teknologi maklumat dan komunikasi masa kini.
          Pusat Sumber Elektronik merupakan pusat  sumber yang telah lama diwar-warkan oleh Kementerian Pelajaran dengan bertujuan membantu guru-guru Bahasa Melayu seperti saya ini dalam penyediaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan alat alat teknologi maklumat seperti Televisyen, laser disc  dan lain-lain dalam bilik darjah. Senario  penggunaan pusat sumber sekolah elektronik yang dapat saya fahami penggunaannya  adalah seperti berikut.
          “ Sekumpulan pelajar Tahun 5 di sebuah sekolah rendah di luar bandar sedang belajar subjek Bahasa Melayu dalam topik pakaian tradisional masyarakat Malaysia. Antara paling awal disentuh ialah pakaian tradisional masyarakat Iban di Sarawak. “
Saya terlebih dahulu berbincang dengan guru pusat sumber dan  meminta bantuan guru pusat sumbar untuk berhubung dengan Jabatan-Jabatan Kerajaan berkaitan. Contohnya Kementerian Pelancongan. Bahan- bahan berkaitan pakaian tradisional kemudian saya muat turun dan disimpan dalam CD-ROM. Pada waktu mengajar Bahasa Melayu saya akan menayangkan bahan-bahan berkaitan melalui laser disc  dan menerangkan maklumat seterusnya kepada murid-murid tentang pakaian tradisional setiap kaum di Malaysia.
          Oleh itu, dengan berbantukan alat-alat elektronik berserta teknologi maklumat seperti ini  maka sudah tentulah proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang saya jalankan berjaya sepenuhnya dan objektifnya tercapai.
         Selain penggunaan sumber-sumber maklumat dari Pusat Sumber Elektronik saya juga boleh menambah nilai bahan sumber melalui aktiviti “hand on” serta interaksi dengan alat teknologi canggih lain untuk mengoptimumkan proses pengajaran saya..        Misalnya saya,  boleh menjadikan pengajaran saya lebih berkesan dengan menggunakan bahan audio, video, perisian multimedia dan seterusnya menggunakan bahan cetak pada kad latihan atau bahan bacaan yang berkaitan Bahasa Melayu. Pengajaran pembelajaran diteruskan lagi dengan menggunakan internet untuk mendedahkan maklumat yang terkini. Pada akhir pengajaran nanti murid-murud digalakkan membuat persembahan hasil pembelajaran berbantukan computer dan disebarkan kepada rakan sebaya. Saya juga  telah dapat memahami dan mendapat pengertian  betapa perlunya saya sebagai seorang guru menguasai teknologi-teknologi maklumat dan komunikasi terkini untuk menceduk sebeberapa banyak yang mungkin bahan-bahan pengajaran untuk Bahasa Melayu dari sesawang yang hubungi dengan pakar-pakar bahasa sama ada dari pusat pengajian tinggi tempatan ataupun luar.
          Dengan adanya talian terus melalui media elektronik seperti persidangan video, program langsung dari televisyen, maka saya dapat bertukar-tukar maklumat dan pendapat tentang bahan-bahan pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu dari rakan-rakan sekolah lain. Begitulah juga pelajar-pelajar saya yang masih dahagakan pelbagai bahan berkaitan aktiviti bahasa yang tidak terdapat di sekolah saya.
         Disamping itu dengan bertukar maklumat seperti ini  akan menjurus kepada pengelibatan yang maksimum daripada pelajar saya. Saya pula tidaklah membazir terlalu banyak masa dengan memberi arahan, membuat teguran  serta mengawal tingkahlaku segelintir pelajar.
        Kesimpulannya, Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah amat berguna kepada saya sebagai alat bantu mangajar di dalam bilik kelas terutama sekali semasa mengajar Bahasa Melayu. Saya juga cadangkan agar lebih banyak  program-program atau kursus-kursus berkaitan teknologi maklumat perlu ditawarkan agar guru seperti saya dapat mempertingkatkan kemahiran menggunakan komputer serta mengendalikan perisian yang pelbagai yang semakin hari semakin bertambah jumlahnya dan semakin canggih dan mantap.
Bak kata pepatah Melayu “ Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah”